Friday, April 18, 2008

PostHeaderIcon Aturan Ilahi Bukan Rancangan Peribadi


Silalah Layari Laman Blog ini dalam usaha menuju ke jalan Allah- Laman Sufi Salafi

Alhamdulillah saya telah tamat menjalani praktikum j-QAF, walaupun dalam keadaan yang agak kelam kabut kerana beberapa kesibukan namun Allah izinkan jua saya menyempurnakan kerja-kerja yang saya lakukan.

Pada pagi ini, saya bercuti kerana semalam merupakan hari sukan di sekolah, justeru diawal pagi ini saya merasa begitu teruja untuk bercakap tentang kuasa Allah S.W.T. Mana tidaknya, pada pandangan saya Allah telah memperlihatkan pada saya kekuasaan aturannya yang mengatasi rancangan manusia.

Semalam, adalah detik yang menggembirakan apabila anak didik saya berjaya ke peringkat negeri dalam pertandingan bercerita Majlis Tilawah Al-Quran. Ini merupakan kejayaan yang julung-julung kalinya berjaya dicapai oleh sekolah. Betapa saya bersyukur dan makin menyedari bahawa diri sya lemah dan inilah perancangan Allah.

Melihat pada kali pertama saya melatih anak murid ini, saya merasakan gayanya begitu kaku dan nada suaranya tak kena. Cuma ada satu kelebihan yang Allah beri padanya iaitu keyakinan diri yang cukup tinggi.

Saya cuba mengajar apa yang termampu dan membuat beberapa strategi yang terilham oleh saya ( mana datang idea dan ilham yang tiba2 muncul sedangkan dahulu tidak terfikir kita tentangnya???)... Saya mengajarnya beberapa konsep asas dalam bercerita dan dia mampu memahaminya serta mengaplikasikannya dalam bercerita...

Lebih mengejutkan saya dia pandai membuat beberapa mimik muka dan gaya yang tidak saya ajar... Ada orang kata inilah BAKAT... apabila di ASAH oleh GURU maka hebatlah dia. Nah inilah 3 komponen yang sering kita yakini sebagai punca kejayaan namun lupakah kita bahawa Allah lah yang mengaturkannya.

Jika kita renung kembali dalam-dalam pasti kita akan mengakui bahawa kepandaian dan kefahaman kita terhadap sesuatu perkara adalah kurniaan Allah. Kita bukan bodoh namun kekadang ada perkara yang tidak dapat kita fahami walaupun diterangkan oleh seorang yang pakar.

Merujuk kepada perkembangan pelajar-pelajar saya yang lain, mereka dahulu tidak pandai membaca IQRA' malah ada sesetengahnya yang lebih parah lagi ada yang diajar tadi ingat tak lama kemudian lupa. Jenuh kami (ustaz-ustazah)berusaha mengajarnya akhirnya kami putus asa... kami rasa pelajar tersebut sememangnya tidak mampu..

Tapi kuasa Allah penentu segalanya, sebaik sahaja dia naik ke darjah 2 dia menunjukkan perkembangan yang baik, walaupun dia bukan pelajar pintar namun dia mampu menghafal malah mampu pula membaca dengan baik.. Sekarang ini tak lama lagi dia akan mula membaca Al-Quran. Saya tak fikir kamilah penyebab dia kuat ingatan tidak pula menyebabkan dia faham kerana kami berusaha seperti sebelum ini sama sahaja...

Sebenarnya menidakkan kekuasaan Allah adalah seperti kenyataan orang -orang kafir yang diungkap oleh Allah dalam ayat 95 surah al-A'raf:

ثُمَّ بَدَّلْنَا مَكَانَ السَّيِّئَةِ الحَسَنَةَ حَتَّى عَفَواْ وّقَالُو قَدْ مَسَّ ءَابَآءَنَا الضَّرَّآءُ والسَّرَّآءُ فَأَخَذْنَاهُمْ بَغْتَةً وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ


"setelah (Mereka tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu Dengan kesenangan hingga mereka kembang biak (serta senang-lenang) dan berkata (dengan angkuhnya): "Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan (sebagaimana Yang kita rasakan)". lalu Kami timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut, dan mereka tidak menyedarinya."


Menurut tafsir Ibn kathir, ayat ini merujuk kepada sikap orang yang tidak beriman yang apabila didatangi oleh kesenangan dan kesusahan sekadar menganggap ia sebahagian daripada hukum alam yang tiada kena mengena dengan kuasa Allah S.W.T. Ini berbeza dengan sikap orang mukmin yang menganggap bahawa kesenangan itu adalah nikmat dari Allah yang perlu disyukuri dan kesusahan pula merupakan ujian daripada Allah yang perlu ditangani dengan kesabaran.


Sesungguhnya kita sebagai orang Islam perlu melihat hidup ini secara keseluruhan merupakan aturan ilahi yang hebat... sedang kita hanya mampu merancang dan Allah adalah penentunya.


0 komentar: