Showing posts with label Amalan Soleh. Show all posts
Showing posts with label Amalan Soleh. Show all posts
Monday, October 13, 2008

PostHeaderIcon Berterima Kasih itu Tuntutan Islam


Silalah Layari Laman Blog ini dalam usaha menuju ke jalan Allah- Laman Sufi Salafi


Sekiranya kita sudi untuk menjengah buku karangan Al-Haisami yang bertajuk "مجمع الزوائد" pastinya kita akan menemui satu bab yang dinamakan “Bab berterima kasih pada kebaikan dan membalas budi kepada yang berbudi” (باب شكر المعروف ومكافأة فاعله ) .

Islam ini begitu indah dan mengajar para penganutnya untuk memperindahkan budi bahasa. Adalah tidak wajar bagi seorang Islam untuk tidak berterima kasih atas budi baik yang ditaburkan oleh orang lain kepadanya.

Walaupun Islam menuntut setiap orang Islam melakukan amal kebaikan dengan ikhlas namun Islam amat prihatin dalam menyuruh mereka yang menerima budi baik orang lain agar berterima kasih. Dalam satu hadis riwayat Imam Tirmizi ada menyatakan:
" من لم يشكر الناس لم يشكر الله"
Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia maka dia tidak berterima kasih kepada Allah.

Hadis ini, menurut pandangan Imam Tirmizi ialah hasan sahih. Maksudnya hadis ini terpakai dan kita perlu mengamalkannya. Oleh itu apakah cara terbaik untuk kita berterima kasih kepada orang lain.

Disini biarlah saya petik satu hadis hasan yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dalam sunannya yang berbunyi:
"من صنع إليه معروف فقال لفعله جزاك الله خيرا فقد أبلغ في الثناء"
“Barangsiapa yang dilakukan kepadanya kebaikan maka katakanlah kepada pelaku tersebut moga Allah memberikan kamu kebaikan maka sesungguhnya dia telah memberikan pujian yang terbaik”

Hadis ini menurut syarah didalam buku " تحفة الأحوذي" menjelaskan bahawa ucapan "جزاك الله خيرا" diucapkan setelah kita tidak mampu membalas budi yang baik yang diberikan.

Lafaz terima kasih seperti yang dinyatakan dalam hadis adalah yang paling baik sekiranya kita tidak mampu membalas budi baik orang yang berbudi kepada kita. Sewajarnya andai kita lemah untuk membalas kembali budi tersebut kita pohonkan kepada Allah yang Maha Agung untuk menganugerahinya dengan kebaikan didunia dan akhirat. Akhir sekali saya ingin memetik kata ulamak

“Jika tanganmu tiada daya membalas budi maka dipanjangkanlah lidahmu untuk berterima kasih dan mendoakannya”

Ingatlah pepatah melayu ada menyebut:
“Orang berbudi kita berbahasa”

Wallahualam
Saturday, July 26, 2008

PostHeaderIcon Jin Dalam Botol


Silalah Layari Laman Blog ini dalam usaha menuju ke jalan Allah- Laman Sufi Salafi

Barangkali kita pernah mendengar kisah Aladin yang miskin kemudian menjadi kaya dengan bantuan Jin yang dijumpainya yang terperangkap didalam sebiji botol. Sebagai membalas jasa Aladin, jin tersebut memberikan peluang kepada Aladin untuk menyatakan 3 hajatnya yang akan dipenuhi olehnya. Maka Aladin telah meminta dari Jin tersebut beberapa perkara yang kemudiannya menjadi realiti.

Kisah ini mungkin cerita kanak-kanak yang pada pandangan kita sekadar cerita dongeng yang menghiburkan. Namun pernahkah kita terfikir bahawa kisah ini telah mengajar kanak-kanak untuk menjadikan jin dan syaitan sebagai tempat bersandar. Kisah Aladin telah menggambarkan bahawa seteru Allah iaitu syaitan adalah makhluk yang baik. Malah unsur syirik juga telah diterapkan dengan menggambarkan bahawa ada kuasa lain yang mampu memberikan manfaat kepada kita selain Allah.

Semasa saya kecil sering terlintas difikiran saya kalau-kalau satu hari nanti saya akan berjumpa dengan sebuah botol seperti Aladin yang membolehkan saya meminta segala perkara yang saya inginkan. Nah, inikan perkara yang bahaya untuk kanak-kanak.

Tidak hairanlah ada sesetengah manusia yang rosak aqidahnya sanggup memuja syaitan kerana syaitan itu dipandang sebagai makhluk yang baik dan mampu memberikan manfaat kepada mereka.Ini semua adalah hasil dari pengaruh media barat yang cukup membahayakan.(Takperlu saya nyatakan disini beberapa filem barat yang mengankat martabat syaitan). Mereka memilih untuk meminta kepada makhluk halus tersebut berbanding meminta kepada Tuhan. Justeru itu mereka sanggup membayar wang beribu untuk mendapatkan khidmat tok dukun dan bomoh untuk membantu mereka berjaya dalam kerjaya mereka.

Alangkah naifnya pemikiran ini, lupakah kita bahawa Allah itu Maha Berkuasa dan Pemurah yang akan memberi jika kita meminta dengan ikhlas. Kalau jin dalam cerita Aladin hanya mampu menunaikan 3 hajat, Allah mampu menunaikan segala hajat kita. Pintalah dan rayulah kepada Allah kerana adalah sesuatu yang memalukan sekiranya Allah tidak mengabulkan doa kita (perbincangan doa makbul dan tertolak ini panjang perlu huraian lain) seperti yang dinyatakan dalam hadis riwayat Abu Daud dan Al-Tirmizi :

“Daripada Salman Al-Farisi, Nabi S.A.W bersabda: Sesungguhnya Allah amat malu dan Maha Mulia. Adalah suatu yang memalukan bagi Allah , apabila seseorang insan mengangkat dua tangannya , lalu Allah menolaknya kosong dan rugi”

Justeru janganlah kita bermalas-malasan untuk meminta kepada Allah dan janganlah kita lalai dari meminta doa selepas solat fardhu kerana itulah waktu yang mustajab untuk berdoa. Bagaimana sibuk pun kita,moga-moga dapatlah kita luangkan sejenak waktu untuk berdoa. Hadis Nabi S.A.W dari riwayat Al-Tirmizi ada menyebut :

“Daripada Abu Umamah Al-Bahili r.a, Rasulullah s.a.w ditanya oleh seseorang: “Apakah doa yang lebih didengar (lebih makbul dan mustajab”? Baginda bersabda : “Waktu terakhir pada hujung malam dan sesudah solat-solat fardhu”

Semoga Allah berikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya khususnya bagi saya yang meminta dari Allah agar memberikan kekuatan untuk saya mengamalkan apa yang saya tulis.

Wallahualam
Faqir Ila Allah
Tuesday, July 22, 2008

PostHeaderIcon Al-Quran Yang Sepi


Silalah Layari Laman Blog ini dalam usaha menuju ke jalan Allah- Laman Sufi Salafi

Sudah sekian lama saya tidak menulis di blog kerana kesibukan yang sering menghambat saya. Apatah lagi kerja-kerja dakwah yang kian bertambah namun saya bersyukur kepada Allah kerana atas rahmatnya api semangat dakwah dalam diri ini kian membara.

Namun dikala kesibukan itu dan ini, adakalanya kita terlupa membaca ayat suci Al-Quran yang mulia. Sering kita memandang enteng kepada pembacaan Al-Quran dan lebih mementingkan perkara lain dari membaca Al-Quran.

Lihatlah bagaimana kita kadang-kadang terleka dihadapan internet melayari blog-blog politik,atau menjadi pengulas politik yang setia atau alpa dengan hiburan atau barangkali kita lalai dengan perbualan kosong di kedai makan. Masa berlalu tanpa kita hiasi dengan bacaan Al-Quran.

Malu rasanya, apabila kita merasakan kita seorang yang “BAIK” tapi hari-hari kita sepi dari Al-Quran. Kalau baca pun sudah jarang, bagaimana mungkin kita dapat menghayati tafsir Al-Quran. Saya cukup risau andai kita ini terdiri dari golongan yang sibuk mengejar yang besar-besar tapi lupa yang asas. Kita angkuh bercakap soal “mengangkat martabat Islam” tapi sayang Islam tidak tertegak dalam diri kita sendiri.

Manusia sebegini lama-kelamaan akan menjadi manusia “hipokrit”. Bicaranya menggoncang ..tapi Hatinya lesu dek hilangnya sinar keimanan.Bila berdepan dengan cabaran maka akan terserlah kebusukan hati yang telah bernanah itu dengan kebusukan mazmumah yang meloyakan. Dalam hadis Nabi yang saya petik dari sumber bacaan saya (Panduan Bagi Hafiz - Hafizah & Qari- Qariah oleh Hj Abu Najihat al-Hafiz)

“Diriwayatkan dari Ibnu Umar ra, dia berkata bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda : Sesungguhnya hati itu boleh berkarat sebagaimana besi yang dapat berkarat, kemudian sahabat bertanya kepada Rasullah S.A.W: Apa penawarnya? Rasulullah S.A.W menjawab : Penawarnya adalah dengan membaca Al-Quran.”

Ayuh pula, kita telusuri kisah para salafus soleh yang tidak pernah lengkang dari bibir mereka dengan “tilawatul Quran”. Khalifah Umar bin Abdul Aziz misalnya sangat rajin membaca Al-Quran dan kadang-kadang beliau sengaja berhenti sebentar dari pekerjaannya untuk membaca Al-Quran. Perkara ini menghairankan sahabatnya, lalu dia pun bertanya kepada Umar. Lantas Umar berkata;

“Aku lakukan hal ini agar aku tidak menjadi orang yang disifatkan telah menjauhi Al-Quran” (kisah ini dipetik dari buku :Panduan Bagi Hafiz - Hafizah & Qari- Qariah oleh Hj Abu Najihat al-Hafiz)

Anadai Umar yang dibawah pemerintahannya jajahan Islam yang luas mampu meluangkan masa untuk Al-Quran. Mengapa tidak kita? Berbezakah 24 jam kita dan beliau?

Akhir sekali marilah kita membaca Al-Quran kerana ia peringatan buat hati dan penerang kalbu. Firman Allah dalam surah al-anbiya’ ayat 50:

“Dan Al-Quran ini adalah suatu kitab (peringatan) yang mempunyai berkah yang telah Kami turunkan. Maka mengapakah kamu mengingkarinya”

Wallahualam.. Hidup Untuk Islam Mati Dalam Islam. Semoga Allah berikan kekuatan kepada saya dan sahabat-sahabat sekalian untuk sentiasa membaca Al-Quran


Sunday, January 27, 2008

PostHeaderIcon Ahli Sufi Seorang Suami Terbaik


Silalah Layari Laman Blog ini dalam usaha menuju ke jalan Allah- Laman Sufi Salafi


Siapakah yang lebih tinggi taqwanya daripada Rasullah S.A.W sehingga tergamak untuk dia melakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Sesungguhnya pada diri baginda S.A.W adalah contoh terbaik yang patut kita ikuti.


Sesungguhnya Al-Quran menggambarkan peribadi mulia baginda S.A.W. Namun seringkali kita tergelincir daripada meneladani peribadi mulia Rasullah S.A.W. Sebagai contoh kita sering mengabaikan peri laku mulia Nabi Muhammad S.A.W dirumah yang unggul. Sehingga kita tidak berusaha meneladaninya. Fikir kita, kita sudah melakukan yang terbaik. Segala ibadah dengan rahmat Allah dapat kita lakukan dengan sempurna. Kita juga telah cuba jadi suami yang terbaik dengan menyediakan segala keperluan isteri. Bekerja mencari nafkah dari pagi hinggalah ke petang.


Sebaik sampai rumah kita disambut oleh si isteri lalu kita pun berehat bersandar diatas sofa sambil membiarkan isteri sibuk menguruskan rumah tangga. Sikap begini kadang-kadang berlanjutan sehinggalah ke waktu cuti dihujung minggu. Isteri dibiarkan bekerja sendirian didapur. Barangkali kita sudah biasa dimomokkan bahawa tugas isteri adalah menjaga rumahtangga sedang suami batasan kerjanya ialah mencari nafkah. Oleh itu, walaupun kadang-kadang si isteri turut penat bekerja membantu suami mencari nafkah, si suami masih tiada rasa bersalah membiarkan isteri melakukan kerja-kerja rumah yang lain.


Malah ada juga suami yang baik, alim malah sering keluar untuk tujuan dakwah turut berpandangan yang demikian. Baginya, rumah adalah tempat istirehat setelah begitu letih bekerja untuk Islam.


Sahabat-sahabat..


Hakikatnya, pandangan-pandangan ini adalah menyeleweng dari apa yang ditunjukkan oleh Rasullah S.A.W. Di dalam buku "Pendidikan anak-anak dalam Islam" karangan Abdullah Nasih Ulwan yang memetik hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh At-Thabari bahawa daripada Aisyah r.a bahawasanya apabila ditanya: Apakah yang dibuat oleh Rasullah S.A.W ketika baginda berada dirumahnya? Jawab Aisyah r.a : Baginda buat seperti yang kamu lakukan,mengangkat yang ini, dan meletakkan yang itu,sentiasa menolong isterinya, memotong daging, menyapu rumah, dan membantu khadam dalam kerja-kerja rumah.


Lihatlah betapa mulianya Rasullah S.A.W. Kalaulah kita ditempat tersebut pada zaman tersebut pastinya kita sudah beralasan pelabagai untuk tidak membantu isteri. Masakan tidak , isteri pada masa itu bukan seperti sekarang yang turut bekerja mencari nafkah. Mereka adalah suri rumah sepenuh masa. Namun ini semua tidak menghalang Rasullah S.A.W daripada membantu isterinya lalu apakah pula yang menghalang kita?


Sebenarnya tanggungjawab seorang suami memang berat dan inilah pelaburan kita untuk ke syurga. Isteri perlu dilakukan sebaik-baiknya barulah kerukunan rumah tangga dapat di kekalkan dan barulah si isteri dengan rela menerima nasihat si suami. Jika hak-hak ini tidak ditunaikan hancurlah kebahagiaan keluarga. Si isteri tidak redho pada si suami dan si suami tidak redho pada si isteri.


Sahabat-sahabat


Andai kita tercari zikir-zikir untuk menambahkan bekalan amal apakata kita cari juga kerja-kerja di dapur untuk membantu isteri... Itukan ibadah juga...


Wallahualam..
Saturday, September 22, 2007

PostHeaderIcon Khusyuk Bukan Bermaksud Konsentrasi?


Silalah Layari Laman Blog ini dalam usaha menuju ke jalan Allah- Laman Sufi Salafi


Telah sekian lama kita memahami bahawa solat yang khusyuk ialah solat dimana kita menumpukan konsentrasi. Didalam solat, kita perlu menumpukan perhatian terhadap hukum sah batalnya, juga bacaannya yang perlu dijaga agar betul tajwidnya dan makhrajnya serta perlu diperhatikan juga rakaatnya agar tidak kurang atau tidak lebih. Fikiran kita tidak boleh menerawang memikirkan perkara lain. Namun persoalannya walau sudah habis kita cuba, minda kita tetap menerawang memikirkan perkara yang lain. Mengapa? Adakah solat khusyuk ini satu utopia? Atau hanya para nabi dan wali kah yang dapat sembahyang khusyuk?


Hukum sembahyang khusyuk menurut Imam Al-Ghazali adalah wajib kerana beliau berpendapat kalau puasa secara luaran tanpa dituruti oleh batin maka puasanya hanyalah sia-sia. Maka bagi sembahyang juga ada ujiannya, menjaga hukum solat tanpa menjaga batinnya iaitu khusyuk maka solatnya juga turut sia-sia.


Persoalan-persoalan ini dijawab oleh Abu Sangkan dari jamaah dzikrullah dari Indonesia didalam bukunya. Saya kagum membaca buku beliau ini, kerana sebelum sememangnya saya sudah cuba membaca Ihya' Ulumuddin untuk mencari kaedah mendapatkan khusyuk dan ternyata sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan cara yang dianjurkan oleh Imam Al-Ghazali yang akan saya nyatakan kemudian.


Buku " Pelatihan Solat Khusyuk, Solat Sebagai Meditasi Tertinggi " yang dikarang oleh Abu Sangkan menunjukkan terus cara praktikal untuk mendapatkan solat khusyuk . Berbanding buku-buku lain yang ada dipasaran yang mengulas tentang solat khusyuk, para penulis sekadar menyatakan ciri-ciri solat khusyuk tapi gagal mengulas dari aspek santifik dan praktikalnya.


Abu Sangkan, telah memberikan saya perspektif baru bahawa solat khusyuk itu sebenarnya mudah dan boleh kita perolehi tapi kena betul caranya. Pertama didalam buku ini beliau telah berusaha membetulkan fikiran kita yang telah teracun oleh budaya bahawa solat itu kewajipan yang membebankan sedangkan solat yang diwajibkan itu perlu dilihat sebagai satu kebaikan dan tempat kita mendapatkan pertolongan. Seringkali kita rasa senang setelah habis menyelesaikan solat fardhu seolah-olah ia memberatkan sedangkan kalau kita dapat merasakan bahawa solat keperluan kita dan disinilah kita dapat berhubung secara terus dengan Allah, memohon bantuannya, keampunannya dan tempat kita dapat merehatkan fikiran kita dari dunia yang meletihkan pasti solat menjadi waktu yang sentiasa kita nantikan.


Kedua beliau, cukup menekankan soal niat seperti yang turut ditekankan oleh Imam Al-Ghazali kerana inilah kuncinya. Bila kita kita berniat bahawa solat ini adalah untuk mendapat keredhaan Allah dengan sebenar-benarnya pasti kita dapat mendatangkan kekhusyukan. Niat yang sering kita lafaz bagai telah menjadi adat dan tidak kita hayati betul-betul kerana itu sulit kita mendapat khusyuk.


Ketiga, beliau menyanggah bahawa khusyuk ialah konsentrasi terhadap sembahyang seperti yang saya kemukakan diawal bicara tadi. Kerana konsentrasasi seperti itu sebenarnya hanya mengaktifkan otak kiri kita dan menyebabkan otak kanan kita tidak dikawal dan sering berimaginasi sesuatu yang lain luar dari sembahyang.


Sebenarnya tugas otak kiri ialah logik, kita berfikir, mengira dan menganalisa menggunakan otak kiri. Sedangkan otak kanan tugasnya ialah abstrak, kita berimaginasi, berangan dan mencipta sesuatu yang kreatif menggunakan otak kanan. Sewaktu saya bersama dengan Dr Asmadi bin Tengku Mohammad di Motivasi Alihan Pelajar(MAP), antara perkara yang saya dapat ialah keperluan untuk mengaktifkan kedua-dua otak ini agar kita dapat memberikan tumpuan terhadap ulangkaji pelajaran. Kalau dalam belajar caranya ialah fakta digabungkan dengan seni yang berbentuk abstrak contohnya dalam bentuk "peta minda" agar kita dapat menggunakan keseluruhan minda kita. Mengikut kajian pelajar yang sekadar menggunakan otak kiri didalam belajar sering hilang tumpuan kerana otak kanannya menerawang.


Begitulah dalam solat, kita menggunakan otak kiri utuk menjaga bacaan, rakaat, menganalisa samada diri kita melakukan dengan betul rukun-rukun solat sebab inilah yang kita anggap khusyuk yang akhir menyebabkan otak kanan yang tidak digunakan menerawang. Sepatutnya otak kanan perlu digunakan untuk merasakan kehadiran Allah seolah-olah kita melihat Allah atau Allah melihat kita. Perkara ini ada dinyatakan didalam "hadis jibril " yang terkenal. Apabila Jibril telah datang kepada Nabi Muhammad S.A.W bertanyakan erti Islam, Iman dan Ihsan.

Hanya dengan cara mengaktifkan kedua-dua minda maka kekhusyukan akan dapat dirasai.


Banyak lagi sebenarnya yang dinyatakan oleh Abu Sangkan, seelok-eloknya sahabat mendapat bukunya. Selamat berpuasa.... ok, mai kita struggle dengan menghidupkan ramadhan kalai ini dengan sembahyang berkualiti. Wallahualam...
para sahabat kalau ada pandangan lain sila nyatakan ya..





Thursday, August 30, 2007

PostHeaderIcon Taraf zikir harian



Silalah Layari Laman Blog ini dalam usaha menuju ke jalan Allah- Laman Sufi Salafi


Assalammualaikum..

Sahabat-sahabat terima kasih kerana bertanyakan taraf hadis tersebut...

Sebenarnya tiada dinyatakan didalam A'un Ma'bud taraf hadis tersebut, namun bacaan zikir yang dinyatakan adalah sahih dan turut diriwayatkan didalam hadis muslim dan attirmizi..

Disini saya nyatakan apa yang terkandung dalam attimizi.. yang menghukum hadis ini hasan gharib. Maksudnya hadis ini adalah hadis sahih bertaraf hasan.. digalakkan untuk mengamalkannya. Gharib pula merujuk kepada sanad hadis yang tunggal. Bermasud hadis ini tidak diriwayatkan dari sanad yang berbeza.


حدثنا ‏ ‏ محمد بن رافع ‏ ‏حدثنا ‏ ‏مؤمل ‏ ‏عن ‏ ‏ حماد بن سلمة ‏ ‏عن ‏ ‏أبي الزبير ‏ ‏عن ‏ ‏جابر ‏ عن النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏قال ‏ ‏من قال سبحان الله العظيم وبحمده غرست له نخلة في الجنة ‏ قال ‏ ‏أبو عيسى ‏ ‏هذا ‏ ‏حديث حسن غريب


Waallahualam...

ok sambung kemudian.. tak sempat nak hurai lagi... ade keja sikit
Friday, August 10, 2007

PostHeaderIcon Zikir Harian Dari Hadis




Silalah Layari Laman Blog ini dalam usaha menuju ke jalan Allah- Laman Sufi Salafi




Assalammualaikum,




Kepada sahabat-sahabat telah tiba bagi kita mengamalkan zikir-zikir yang telah dibaca oleh nabi junjungan kita. Sebenarnya banyak zikir-zikir yang terkandung dalam buku hadis namun sering diabaikan. Lebih mengecewakan kita sibuk pula mencari zikir-zikir yang lain yang tiada asasnya dari Nabi Muhammad S.A.W.




Perkara ini kadang-kadang amat merisaukan saya, kerana 2 perkara. Yang pertama, sememangnya termaktub dalam Qaidah Fiqhiyah (Al-Aslu fil I'badah haramun)




Maksudnya, asal ibadah itu haram kecuali datang wahyu yang menyuruh kita melaksanakannya. Dalam erti kata lain kita tidak boleh memandai-mandai untuk menambah-nambah dalam perihal ibadah.




Sebab kedua yang mengukuhkan lagi sebab mengapa kita tidak perlu mengamalkan zikir-zikir yang tiada asasnya adalah kerana tiada janji Allah tentang pahala yang bakal diterima.




Zikir-zikir yang terkandung dalam hadis, sebahagiannya dinyatakan oleh Nabi Muhammad S.A.W sendiri fadhilat yang bakal diterima. Setiap zikir dengan lafaz yang pelbagai ada ganjaran tertentu yang dijanjikan. Seolah-olah membayangkan kepada kita bahawa lafaz zikir yang betul amat dititik beratkan.




Baiklah, disini saya ingin memetik hadis yang termaktub didalam kitab hadis Abu Daud dalam bab adab. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. Menurut penafsiran "Aun Ma'bud" berdasar hadis Nabi Muhammad S.A.W, sesiapa yang membaca zikir tersebut 100 kali pagi dan petang maka dihari akhirat nanti dia akan menjadi orang yang mulia berbanding yang lain kecuali ada yang baca sama banyak dengannya atau lebih. Zikir tersebut berbunyi:






سبحان الله العظيم وبحمده





Inilah, serba sikit ilmu yang dapat dikongsikan. InsyaAllah nanti kita bincang lagi....