Saturday, September 13, 2008
Taa'suf,Jemaah,Hati,Adik dan Politik..
12:53 PM | Dari Hamba Allah
Mohd Nabil Majdi Al-Muslihi |
Edit Post
Silalah Layari Laman Blog ini dalam usaha menuju ke jalan Allah- Laman Sufi Salafi
Sekian lama saya tidak menulis namun alhamdulillah saya mendapat ruang dan peluang untuk menulis sesuatu yang bermanfaat untuk semua. Biarlah tulisan ini menjadi medan ikhlas saya menasihati adik-adik yang berada didalam perjuangan dalam jemaah.
Perkembangan terkini benar-benar telah melukakan hati saya. Tindakan sesetengah ahli-ahli gerakan Islam jelas menunjukkan mereka tidak mampu bersabar dan melampau dalam menyelesaikan isu-isu tertentu. Keinginan mereka yang tinggi untuk mengangkat martabat jemaah telah menyebabkan mereka menyalahkan pimpinan secara membabi buta. Apa yang dilakukan oleh pimpinan pada perkiraan mereka tidak cukup.
Aneh, sesetengah daripada mereka adalah pimpinan jua. Apa yang mereka kritik itu adalah ibarat mengkritik diri sendiri. Lemahnya pimpinan jemaah pastinya bukan didasari oleh kesilapan seorang individu tetapi kerana tindakan ramai orang termasuklah yang mengkritik. Setakat manakah yang telah mereka lakukan melalui biro-biro dan jawatan yang telah diamanahkan kepada mereka dilaksanakan dengan baik?
Pada zaman Saidina Ali Karamahhu Wajhah, datang sekumpulan manusia yang mengkritik kepimpinan beliau dan membandingkan kehebatan kepimpinan Islam dizaman Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar. Lalu pantas Saidina Ali menjawab bahawa pada zaman tersebut para pengikutnya adalah seperti beliau manakala pengikut pada zaman beliau adalah seperti peribadi yang mengkritik.
Nah, lihat.. sebenarnya kepimpinan itu amat bergantung kepada kepengikutan. Andai pengikutnya lemah atau asyik bergaduh dan tidak pula menyumbang mana mungkin boleh mengharapkan kepimpinan menjadi hebat. Bagi saya kehebatan manusia bernama pemimpin adalah kerana adanya bernama pengikut yang patuh melaksanakan wawasannya.
Pengalaman saya sebagai pimpinan pelajar dahulu banyak mengajar saya erti kepengikutan. 2 tahun memimpin namun dengan pengikut yang berbeza bagi tahun pertama dan berbeza pula pada tahun kedua sememangnya menyedarkan saya kepada perlunya pengikut yang baik .Walaupun saya masih kekal sebagai tunjang kepimpinan utama namun prestasi jemaah yang saya pimpin benar-benar berbeza.
Lihat sahaja, zaman kehebatan pimpinan abang-abang yang adik-adik gahkan… bagaimanakah karektor pengikut-pengikutnya. Oleh tidak hairanlah apabila saya mendengar seribu satu macam keburukan tentang pimpinan kalau bukan berasal dari pengikut-pengikut yang tidak baik. Ingatlah Islam berbeza pandangan dengan barat. Mereka para pendokong barat menekan kepada keperluan menjadi pimpinan yang baik tapi pernahkah kita jumpa mereka membicarakan bagaimana menjadi pengikut yang baik. Islam jelas berbeza dalam isu ini. Pemimpin dan pengikut saling dititik beratkan.
Kepincangan para pengkritik, dalam memahami adab-adab kepengikutan telah menyebabkan mereka mengambil pendekatan yang “taa’suf” dan jelas mereka telah mengimport budaya politik luar yang tersimpang dari apa yang digariskan Islam.
Taa’suf menurut Dr. Wahbah Zuhaili dalam bukunya “Fiqh Wa Adillatuhu” merupakan penyalahgunaan hak yang telah diberikan. Hukum taa’suf menurut Islam adalah haram begitulah yang saya petik dari buku tersebut. Contohnya kita menggunakan hak kebebasan secara salah dengan memasang radio sekuat-kuatnya sehingga mengganggu orang lain. Perbuatan ini tidak dibenarkan oleh Islam walaupun radio itu kita punya dan hak kita nak guna macammana.
Ada beberapa jenis taa’suf namun biarlah saya petik salah satu yang dikemukan oleh Dr. Wahbah antaranya tindakan yang kononnya untuk kebaikan namun sebenarnya merosakkan. Kita kononnya ingin membaiki jemaah maka kita pun berkomplot untuk memperalatkan hak kebebasan bersuara yang kita diberikan untuk mempertikaikan syura secara terbuka agar syura diadakan semula dan melantik kepimpinan yang pada pandangan kita lebih berkaliber. Namun kerana tindakan kita itu maka berpecah belahlah ahli jemaah dan maraklah api persengketaan.
Perbuatan kita sebenarnya telah salah berdasarkan hadis Nabi S.A.W
لا ضرار ولاضرار
“Tidak bahaya dan Tidak Membahayakan”
Pasal hal ini, jangan kata hadis ini tidak sesuai pula. Banyak perkara seperti hal radio yang saya petik tadi dari pandangan Dr Wahbah sememangnya tiada dalam zaman Nabi S.A.W. Namun ulama’ menggunakan kaedah “Qiyas”. Sebenarnya memang banyak perkara yang terjadi pada zaman ini tidak didapati pada zaman nabi namun ulamak menggunakan kaedah qiyas untuk menentukan hukumnya.
Begitulah kehidupan kita sebenarnya tidak boleh kita bebaskan diri kita dari hukum Allah dan Rasulnya tidak kira dimana pun kita, dalam organisasi,pimpinan negara ataupun diperingkat kampung dan keluarga sahaja. Justeru itu, saya merasa hairan melihat generasi baru yang dalam jemaah ini ,tanpa cuba melihat perbuatan mereka dari aspek Islam pantas sahaja melakukan sesuatu tindakan. Apabila dipersoalkan hukum mana yang mereka pakai, mudah sahaja mereka membantah dengan mengatakan tindakan mereka untuk kebaikan dan apa yang mereka buat bukannya gugat negara pun.. sekadar organisasi biasa sahaja yang tidak terdapat dalam hadis yang melarang perbuatan mereka.
Sebenarnya, sewaktu mereka mengambil tindakan tersebut tidak terlintas pun didalam kotak pemikiran mereka untuk menilai nya menggunakan neraca hukum Islam. Mereka sekadar menggunakan hukum akal yang dangkal. Fikiran mereka bahawa segalanya akan berjalan lancar dan happy ending menunjukkan betapa “simple”nya pemikiran mereka ini. Apakah mereka lupa saranan Islam agar umatnya berfikir dengan cermat ?
Pemikiran yang songsang inilah yang menyebabkan mereka mengunaka kaca mata politik “Machievelli” untuk melihat segala-galanya. Kritikan yang dilontarkan dalam “Syura” dianggap sebagai agenda menjatuhkan diri mereka. Apakah tidak boleh dijernihkan fikiran dan melihat secara telus bahawa apa yang berlaku dalam syura adalah satu proses biasa untuk mencari resolusi terbaik. Apakah tidak boleh dilihat nasihat abang-abang sebagai untuk kebaikan mereka? Mengapa perlu dilihat dari kaca mata politik bahawa semua itu untuk menghancurkan mereka?
Mereka hanyut dalam pemikiran politik barat yang gagal mereka murnikan… Tanyakan sahaja pada mereka apa tujuan kita menyertai politik kampus pasti dijawabnya dengan soal kuasa dan kekuatan kerana itulah yang diajar barat. Namun kalau ditanyakan kepada mereka yang murni fikirannya pasti tujuan politik kampus itu dijawabnya untuk Islam.
Andai hati kita benar telus untuk Islam… Berlapang dadalah untuk menerima kesalahan dan mohonlah kemaafan. Janganlah dibiarkan hati kita keras dan ego tidak mahu menerima nasihat kerana itulah punca kita hanyut dari hidayah Allah. Hadis ada menyebut :
أبعد الأشياء من الله تعالى القلب القاسي
“Yang Paling Jauh Dari Allah Taa’la ialah Hati yang Keras”
Wallahualam..
Untuk adik-adik jemaahku yang dikasihi
Labels:
Diari Peribadi
|
17
komentar
Subscribe to:
Posts (Atom)