Sunday, October 05, 2008

PostHeaderIcon Tangani Konflik Tanggungjawab Muslim


Silalah Layari Laman Blog ini dalam usaha menuju ke jalan Allah- Laman Sufi Salafi



Menjadi seorang muslim yang baik bukan sahaja terletak pada persoalan “membaiki diri sendiri”. Barangkali ramai yang apabila ingin mensucikan hati mengambil langkah menjauhkan diri daripada manusia. Malah ada yang menganggap tasawuf itu adalah persoalan zikir,adab,sabar, tawaduk,taqwa dan sebagainya namun kurang yang memahami sebagaimana Imam Al-Ghazali melihat tasawuf yang tidak terasing daripada agenda membetulkan umat. Kalau tidak masakan tertulis didalam “ihya’ ulumuddin” kitab amar ma’ruf nahi munkar (Menyuruh yang baik mencegah kemungkaran).

Justeru itu menangani konflik yang berlaku dikalangan umat Islam juga perlu dilaksanakan oleh mereka yang mecari redho Allah dalam menuju perjalanan “mardhotillah”. Namun begitu, bagaimanakah Al-Quran mengajar kita menangani konflik. Ramai yang keliru bahkan ada yang tidak faham kaedah yang sebenar akhirnya konflik yang patut berakhir dengan adil menjadi keputusan yang tidak tepat serta memanjangkan sengketa.

Islam telah menggariskan kaedah yang tepat dalam menangani konflik. Pertelingkahan sesama manusia telah berlangsung sejak zaman Habil dan Qabil dan masih berlaku sehingga sekarang. Oleh itu, Al-Quran telah menggariskan kaedah mengatasi masalah yang telah menghantui manusia sekian lama. Ini jelas dinyatakan didalam Al-Quran surah al-Hujurat ayat 9:


" Dan jika dua puak dari orang-orang Yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap Yang lain, maka lawanlah puak Yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya Dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam Segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil."

Apabila kita membaca ayat Allah ini, tidak wajar kalau kita sekadar membaca sebahagian daripada ayatnya sehingga merencatkan pemahaman kita tentang kaedah yang sebenar yang telah digariskan oleh Islam. Kebiasaannya kita sekadar memetik ayat :

"Dan jika dua puak dari orang-orang Yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya"

Akibatnya, kita telah tersalah sangka bahawa setiap pergaduhan perlu diadili dengan sama dan Kita perlu bersikap neutral serta tidak menyebelahi mana-mana pihak (maklumlah kita telah salah faham bahawa adil itu ertinya samarata). Ini secara tidak langsung telah membuka ruang kepada mereka yang melampau dan zalim untuk terus bermaharajalela. Maka Si Orang Tengah yang kononnya mengambil sikap yang tidak berpihak, meng”iya”kan mereka yang melampau dan dalam masa yang sama mem”benarkan” jua yang hak.

Maka kesannya yang bersalah tidak akan merasa bersalah dan tidak pula mengambil pengajaran. Manakalayang hak pula merasa tertekan dan tiada keadilan bagi mereka. Jika kebenaran tidak ditegakkan dan yang salah tidak dibetulkan, jadi bagaimana mereka hendak disatukan atas kebenaran?. Sebab itu kaedah sebegini sering menemui jalan buntu.

Ini amat berbeda dengan kaedah yang diajarkan oleh Islam dimana Islam menyeru kita agar berpihak kepada pihak yang benar sekiranya dalam satu-satu konflik itu ada pihak yang melampau. Seperti yang dinyatakan oleh Imam Tobari seperti yang dinukilkan oleh Imam Syaukani:

قال الطبري إنكار المنكر واجب على من يقدر عليه فمن أعان المحق أصاب ومن أعان المخطىء أخطأ

Mafhum maksudnya : Berkata Tobari : Memungkiri kemungkaran wajib mengikut apa yang termampu baginya, barangsiapa yang membantu pihak yang benar maka dia telah betul dan barangsiapa yang membantu orang yang bersalah maka dia telah membuat salah.
Mereka yang melampau perlu ditentang "قاتلوا" sehingga kembali kepada garis panduan yang ditetapkan oleh Islam. Bagaimana nak tentang?

Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya terhadap ayat ini telah menjelaskan bahawa ayat ini adalah untuk sesama orang Islam yang berkonflik bukan untuk konflik dengan orang bukan Islam. Jadi pada pandangan saya tidak timbul soal berperang dengan senjata atau jihad disini. Namun Imam Nawawi ada menggunakan ayat ini untuk keperluan mengangkat senjata itupun dalam hal mempertahankan nyawa dan harta benda kita dari mereka yang ingin membunuh dan merompak harta kita.

Walaupun begitu, dalam buku “Nillul awthor” karangan Imam As-Syaukani ada menyatakan tentang pandangan beberapa ulamak yang melarang membunuh mereka yang zalim sekiranya kita orang awam kerana kita tiada hak menghukum walaupun si penzalim (spt pembunuh,perompak dan sbg.)boleh menggugat nyawa kita (perkara ini perkara khilaf ,yang pasti ulamak tidak setuju membunuh kalau bukan dalam darurat) Justeru itu Imam ibnu Kathir memetik sepotong hadis sahih bukhari yang berbunyi:

عن أنس رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم قال انصر أخاك ظالما أو مظلوما قلت يا رسول الله هذا نصرته مظلوما فكيف أنصره ظالما قال صلى الله عليه وسلم تمنعه من الظلم فذاك نصرك إياه

Mafhum hadis ini meyuruh kita membantu saudara kita yang zalim atau yang dizalimi. Suruhan ini amat pelik sehingga para sahabat tertanya-tanya bagaimana membantu orang yang zalim? Nabi menjelaskan bahawa membantu orang yang zalim itu adalah dengan menghalangnya dari membuat kezaliman. Disinilah letaknya kita menggunakan amar ma’ruf nahi munkar.

Apabila yang melampau atau yang zalim telah kembali ke jalan kebenaran yang digariskan oleh Allah maka barulah dipersaudarakan kembali kedua pihak yang bertelagah agar mereka bersatu atas landasan agama Allah yang benar.Disinilah letaknya keindahan islam dalam menyatukan manusia.

Moga kita menyatukan umat ini dengan apa yang diajarkan kita oleh Al-Quran.
Wallahualam.

0 komentar: