Saturday, September 22, 2007

PostHeaderIcon Khusyuk Bukan Bermaksud Konsentrasi?


Silalah Layari Laman Blog ini dalam usaha menuju ke jalan Allah- Laman Sufi Salafi


Telah sekian lama kita memahami bahawa solat yang khusyuk ialah solat dimana kita menumpukan konsentrasi. Didalam solat, kita perlu menumpukan perhatian terhadap hukum sah batalnya, juga bacaannya yang perlu dijaga agar betul tajwidnya dan makhrajnya serta perlu diperhatikan juga rakaatnya agar tidak kurang atau tidak lebih. Fikiran kita tidak boleh menerawang memikirkan perkara lain. Namun persoalannya walau sudah habis kita cuba, minda kita tetap menerawang memikirkan perkara yang lain. Mengapa? Adakah solat khusyuk ini satu utopia? Atau hanya para nabi dan wali kah yang dapat sembahyang khusyuk?


Hukum sembahyang khusyuk menurut Imam Al-Ghazali adalah wajib kerana beliau berpendapat kalau puasa secara luaran tanpa dituruti oleh batin maka puasanya hanyalah sia-sia. Maka bagi sembahyang juga ada ujiannya, menjaga hukum solat tanpa menjaga batinnya iaitu khusyuk maka solatnya juga turut sia-sia.


Persoalan-persoalan ini dijawab oleh Abu Sangkan dari jamaah dzikrullah dari Indonesia didalam bukunya. Saya kagum membaca buku beliau ini, kerana sebelum sememangnya saya sudah cuba membaca Ihya' Ulumuddin untuk mencari kaedah mendapatkan khusyuk dan ternyata sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan cara yang dianjurkan oleh Imam Al-Ghazali yang akan saya nyatakan kemudian.


Buku " Pelatihan Solat Khusyuk, Solat Sebagai Meditasi Tertinggi " yang dikarang oleh Abu Sangkan menunjukkan terus cara praktikal untuk mendapatkan solat khusyuk . Berbanding buku-buku lain yang ada dipasaran yang mengulas tentang solat khusyuk, para penulis sekadar menyatakan ciri-ciri solat khusyuk tapi gagal mengulas dari aspek santifik dan praktikalnya.


Abu Sangkan, telah memberikan saya perspektif baru bahawa solat khusyuk itu sebenarnya mudah dan boleh kita perolehi tapi kena betul caranya. Pertama didalam buku ini beliau telah berusaha membetulkan fikiran kita yang telah teracun oleh budaya bahawa solat itu kewajipan yang membebankan sedangkan solat yang diwajibkan itu perlu dilihat sebagai satu kebaikan dan tempat kita mendapatkan pertolongan. Seringkali kita rasa senang setelah habis menyelesaikan solat fardhu seolah-olah ia memberatkan sedangkan kalau kita dapat merasakan bahawa solat keperluan kita dan disinilah kita dapat berhubung secara terus dengan Allah, memohon bantuannya, keampunannya dan tempat kita dapat merehatkan fikiran kita dari dunia yang meletihkan pasti solat menjadi waktu yang sentiasa kita nantikan.


Kedua beliau, cukup menekankan soal niat seperti yang turut ditekankan oleh Imam Al-Ghazali kerana inilah kuncinya. Bila kita kita berniat bahawa solat ini adalah untuk mendapat keredhaan Allah dengan sebenar-benarnya pasti kita dapat mendatangkan kekhusyukan. Niat yang sering kita lafaz bagai telah menjadi adat dan tidak kita hayati betul-betul kerana itu sulit kita mendapat khusyuk.


Ketiga, beliau menyanggah bahawa khusyuk ialah konsentrasi terhadap sembahyang seperti yang saya kemukakan diawal bicara tadi. Kerana konsentrasasi seperti itu sebenarnya hanya mengaktifkan otak kiri kita dan menyebabkan otak kanan kita tidak dikawal dan sering berimaginasi sesuatu yang lain luar dari sembahyang.


Sebenarnya tugas otak kiri ialah logik, kita berfikir, mengira dan menganalisa menggunakan otak kiri. Sedangkan otak kanan tugasnya ialah abstrak, kita berimaginasi, berangan dan mencipta sesuatu yang kreatif menggunakan otak kanan. Sewaktu saya bersama dengan Dr Asmadi bin Tengku Mohammad di Motivasi Alihan Pelajar(MAP), antara perkara yang saya dapat ialah keperluan untuk mengaktifkan kedua-dua otak ini agar kita dapat memberikan tumpuan terhadap ulangkaji pelajaran. Kalau dalam belajar caranya ialah fakta digabungkan dengan seni yang berbentuk abstrak contohnya dalam bentuk "peta minda" agar kita dapat menggunakan keseluruhan minda kita. Mengikut kajian pelajar yang sekadar menggunakan otak kiri didalam belajar sering hilang tumpuan kerana otak kanannya menerawang.


Begitulah dalam solat, kita menggunakan otak kiri utuk menjaga bacaan, rakaat, menganalisa samada diri kita melakukan dengan betul rukun-rukun solat sebab inilah yang kita anggap khusyuk yang akhir menyebabkan otak kanan yang tidak digunakan menerawang. Sepatutnya otak kanan perlu digunakan untuk merasakan kehadiran Allah seolah-olah kita melihat Allah atau Allah melihat kita. Perkara ini ada dinyatakan didalam "hadis jibril " yang terkenal. Apabila Jibril telah datang kepada Nabi Muhammad S.A.W bertanyakan erti Islam, Iman dan Ihsan.

Hanya dengan cara mengaktifkan kedua-dua minda maka kekhusyukan akan dapat dirasai.


Banyak lagi sebenarnya yang dinyatakan oleh Abu Sangkan, seelok-eloknya sahabat mendapat bukunya. Selamat berpuasa.... ok, mai kita struggle dengan menghidupkan ramadhan kalai ini dengan sembahyang berkualiti. Wallahualam...
para sahabat kalau ada pandangan lain sila nyatakan ya..





Saturday, September 08, 2007

PostHeaderIcon Apakah taraf Al-Quran?


Silalah Layari Laman Blog ini dalam usaha menuju ke jalan Allah- Laman Sufi Salafi


Hari ini saya terbaca dalam akhbar berhubung Erra Fazira seorang artis Malaysia yang ingin berkahwin. Namun yang menarik perhatian saya ialah Erra sekadar menetapkan mas kahwinnya hanya sebuah Al-Quran.


Bukan niat saya memperkecilkan niat murni artis ini, akan tetapi apakah nilai Al-Quran hanya sekadar nilai sebuah hadiah. Harapan saya agar Erra Fazira benar-benar melihat kepada Al-Quran dalam konteks ingin mengamalkannya . Biarlah mas kahwin yang kali ini berguna untuk dunia dan akhirat.


Wallahualam...
Wednesday, September 05, 2007

PostHeaderIcon Menyelami Erti Falsafah Kemerdekaan Sebenar


Silalah Layari Laman Blog ini dalam usaha menuju ke jalan Allah- Laman Sufi Salafi


Oleh: Mohd Nabil Majdi bin Arip


Ribuan manusia memenuhi dataran KLCC untuk menyambut kedatangan tanggal 31 Ogos sermpena hari Merdeka. Tahun 2004, saya bersama beberapa orang sahabat dibawah anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia bertugas menyampaikan risalah dakwah ditengah-tengah hiruk pikuk sambutan Merdeka.

Sebaik keluar dari bangunan KLCC, kedengaran jelas suara seorang artis "rock" tanah air menjerit membangkitkan semangat kemerdekaan dikalangan muda-mudi disitu. "Biar kita buktikan bahawa kita orang muda pun tahu apa erti merdeka!" begitulah laungan artis tersebut yang disambut oleh sorakan sepenuh tenaga dari para penonton tanda mereka bersetuju. Lalu lagu dan muzik yang dihiasi oleh getaran bunyi gitar elektrik dan ketukan dram dibunyikan meraikan merdeka yang mereka faham.

Persoalannya apakah erti atau falsafah kemerdekaan yang difahami oleh muda-mudi zaman sekarang. Apakah hari kemerdekaan yang mereka sambut tidak lebih dari berseronok mendengar nyanyian artis terkenal sambil menyaksikan letupan bunga api berwarna warni menghiasi langit malam.

Apakah hari kemerdekaan sekadar dihayati sebagai hari kebangsaan yang tidak lebih dari hari pelepasan am seluruh warga Malaysia yang bekerja. Hari kebebasan dari bebanan kerja yang menyusahkan. Hari untuk berseronok dengan rakan-rakan atau dalam erti kata lain hari yang menghalalkan untuk mereka melakukan apa sahaja

Membicarakan persoalan falsafah kemerdekaan biarlah difahami dahulu makna perkataan falsafah yang telah wujud sejak 2000 tahun dahulu dalam era kegemilangan Yunani. Menurut Dr Hamka didalam bukunya "Falsafah Hidup". Falsafah berasal dari dua suku kata iaitu "pilos" dan "sofos". "Pilos" membawa erti penggemar manakala "sofos" membawa makna hikmah. Oleh itu apabila kita membicarakan soal falsafah kemerdekaan maka sebenarnya kita membicarakan hikmah atau pemahaman sebenar disebalik kemerdekaan yang kita sambut saban tahun.

Dalam ucapan Tunku Abdul Rahman sempena Ucapan perasmian persidangan agung umno Malaya yang diadakan di di Melaka pada 4 dan 5 April 1953
yang dihimpunkan didalam buku “Bumi dipijak Orang” jelas menyatakan falsafah kemerdekaan yang dicitakan oleh generasi terdahulu. Dalam ucapannya beliau menyebut:

“Didalam sedikit masa ini orang-orang melayu telah sedar bahawa nasib bangsanya itu semakin hari semakin buruk. Dan rod didalam badan kita telah memohon kepada Allah SWT dan Allah SWT pun kabulkan doa kita itu dengan menggerakkan hati kita bagi menuntut dan mencapaikan kemerdekaan dengan segera. Kita yakin merdeka inilah sahaja yang boleh menyelamatkan bangsa kita”.

Berdasarkan ucapan bernas bapa kemerdekaan Malaysia ini, kemerdekaan sebenarnya ialah mekanisme untuk mengangkat martabat bangsa. Mencapai kemerdekaan bukanlah objektif terakhir akan tetapi batu loncatan untuk cita-cita yang lebih besar iaitu untuk mengeluarkan masyarakat dari kemunduran dan kehinaan.

Oleh itu, tugas generasi masa kini hakikatnya masih belum berakhir dengan sekadar berseronok menyambut hari merdeka. Sepatutnya tanggal 31 Ogos yang kita sambut setiap tahun merupakan tarikh peringatan kepada kita untuk memperbaharui tekad bagi menyambung usaha pejuang-pejuang terdahulu yang ingin mengangkat martabat umat. Permasalahannya adakah muda-mudi berasa bertanggungjawab untuk berjuang demi Negara, bangsa dan agama bila hari merdeka menjelma.

Selain itu, kemerdekaan menurut "wikipedia" sebuah laman web ensiklopedia yang sarat dengan maklumat ialah pembebasan dari penjajahan. Sambutan besar-besaran diadakan setiap tahun meraikan pengunduran "Union Jack" dari tanah melayu dan sebagai melahirkan rasa patriorisme yang benci kepada sebarang bentuk penjajahan.

Namun sambutan kemerdekaan yang sepatutnya lambang kebebasan bertukar menjadi bukti bahawa rakyat Malaysia masih dijajah. Kalau dahulu umat melayu dijajah dalam bentuk fizikal, hari ini mereka dijajah dalam bentuk pemikiran.

Budaya penjajah dicedok bulat-bulat tanpa ada batasan. Lihat sahaja budaya liar "punk" dan "metal" yang turut mewarnai remaja-remaja yang menyambut hari kemerdekaan. Menurut Tun Dr. Mahathir didalam ucapannya yang dirakam didalam "Encyclopedia of Dr. Mahathir bin Mohammad". Beliau berpandangan bahawa meniru budaya lain bukanlah semestinya salah namun yang menjadi problema kepada kita ialah apabila kita meniru membuta tuli tanpa membezakan antara yang baik dan salah.

Dalam ucapan yang sinis Tun Dr. Mahathir menggambarkan fenomena yang berlaku dikalangan orang Melayu.

"What the West does today, the east will do tomorrow and the Malays the day after. If the West stops doing it, the East will follow suit tomorrow and the Malays are likely to do the thereafter"

Apa yang dilakukan oleh barat hari ini akan dilakukan oleh penduduk timur keesokannya dan melayu pula akan menyusul hari berikutnya. Bilamana barat berhenti mengamalkannya maka penduduk timur turut berhenti dan melayu seperti selalunya akan mengikut selepas itu.

Ucapan beliau mengingatkan kita bahawa mengapa kita perlu jadi Pak Turut sedangkan kita mampu menilai. Biarlah kemerdekaan mengingatkan kita akan jati diri kita yang sebenar sebagai anak Malaysia yang punya acuan hidup tersendiri . Usahlah kita menjadi "Barat jadian" hasil dari jati diri ikut-ikutan.

Kedatangan hari kemerdekaan juga perlu mengingatkan kita bahawa kebebasan yang dikecapi perlu dipertahankan dengan memperkukuhkan diri kita agar dapat menyumbang kearah keharmonian Malaysia.

Mengecapi merdeka bukan bererti kita tidak akan dijajah lagi. Negara kita mungkin saja dijajah dalam bentuk yang pelbagai. Tanpa menyedari hakikat bahawa ancaman terhadap kemerdekaan yang kita kecapi sekarang sentiasa wujud, maka kita akan sentiasa leka tanpa merasa keperluan untuk membangunkan modal insan.

Amat malang sekali kerana generasi hari ini sekadar merenung sejarah hitam penjajahan dari sudut nostalgia silam yang sudah lepas. Sejarah dianggap sebagai bahan cerita lepas yang menarik untuk diketahui. Mereka sekadar memandang sejarah dari sudut penceritaan tetapi lupa bahawa sejarah ialah realiti hidup lepas yang boleh berulang. Sejarah sentiasa akan berulang kembali bagai roda yang berputar, cuma yang mebezakannya ialah watak-watak lakonan dalam sejarah tersebut.

Menurut sarjana Islam Ibnu Khaldun didalam “Muqaddimah” , sejarah bukanlah sekadar peristiwa lepas yang tiada dengan kita yang hidup hari ini namun adalah perkara yang perlu dipelajari kerana sejarah sentiasa berulang. Justeru itu, al-quran itu sendiri sarat dengan kisah-kisah sejarah umat sepanjang zaman sebagai pengajaran kepada manusia hari ini. Sesungguhnya mereka yang memahami peristiwa silam adalah mereka yang memahami masa hadapan.

Oleh itu, kemerdekaan yang hadir perlu diambil sebagai iktibar untuk membangunkan jati diri “insan kamil” atau manusia yang lengkap serba serbi sebagai persediaan menghadapi sebarang bentuk ancaman. “Insan kamil” yang dimaksudkan disini ialah manusia yang teguh agamanya dan dalam masa yang sama tinggi produktivitinya untuk kebaikan umat. Pendek kata kehebatan dunia dan akhirat bersatu dalam dirinya.

Kemerdekaan juga perlu dipisahkan dari makna kebebasan tanpa batasan kerana maksud dari mencapai merdeka itu sendiri ialah untuk memelihara hak semua individu didalam masyarakat.

Kebebasan harus tidak sampai membebankan atau menjadi perosak kepada institusi masyarakat. Kebebasan individu untuk buat apa sahaja atas nama "hak kemanusiaan" adalah salah. Kepentingan masyarakat perlu didahulukan berbanding kepentingan peribadi yang sempit.

Islam sebagai agama yang memelihara hak-hak setiap individu manusia telah lama menekankan didalam "Qawaid Fiqhiyyah" atau dasar-dasar penentuan hukum bahawa "hak jamaah(umat) perlu didahulukan berbanding hak peribadi". Perkara ini begitu jelas dibentang oleh Dr. Yusof Al-Qardhawi didalam bukunya "Fiqh awliyat" atau feqah keutamaan.

Di dalam buku tersebut beliau menegaskan bahawa apabila terjadi perselisihan diantara kepentingan peribadi dan orang ramai, maka kepentingan umum perlulah terlebih dahulu dipelihara.

Sebagai contoh beliau memetik pandangan Imam Al-Ghazali berhubung sekiranya terjadi peperangan yang dahsyat dan keperluan untuk berperang telah menjadi fardu ain maka wajib bagi setiap individu mendahulukan kepentingan agama, Negara dan masyarakat untuk pergi berperang.

Malangnya setelah 50 tahun merdeka ,hasrat mencapai kemerdekaan untuk menjaga kelangsungan masyarakat kian pudar. Sikap individualisme telah mengambil alih tafsiran kemerdekaan hari ini. Hak individu telah diagungkan melebihi hak umum.

Contohnya apa yang dinyatakan Tun Dr. Mahathir di bawah tajuk "A system values and the malays" didalam ensiklopedia biodata beliau yang mengakui kewujudan masyarakat melayu yang menerima budaya barat yang mengamal seks diluar nikah dengan tinggal bersedudukan lelaki dan perempuan. Sikap mereka yang melampau bakal merosakkan institusi kekeluargaan dalam masyarakat.

Sikap mengagungkan hak kebebasan diri ini jelas terpamer pada segelintir remaja dikala malam ambang merdeka. Tanpa menghiraukan sentiviti masyarakat, muda-mudi Melayu Islam hasil tinjaun saya pada perayaan merdeka yang lepas, mereka sanggup berpelukan dikhalayak ramai, minum arak secara terbuka dan ada pula yang tanpa segan silu memperagakan tubuh badan dengan pakaian menjolok mata dihadapan umum.

Sebenarnya menurut Dr. Kamar Oniah seorang pensyarah di UIA, masyarakat Malaysia kini menuju kearah masyarakat "non-conscience" atau masyarakat yang tidak mampu membedakan yang mana baik dan yang mana buruk. Kepentingan keseronokan peribadi seringkali menjadi dalil menghalalkan tingkah laku buruk mereka. Lebih menyedihkan sikap sesetengah golongan pemuda pemuja budaya "hedonisme" telah mengambil peluang kehadiran kemerdekaan sebagai kebebasan tanpa batasan.

Selain itu, falsafah kemerdekaan juga mengajak kita untuk bersatu atas nama bangsa Malaysia. Sikap prejudis antara sesama bangsa perlu diketepikan dan sebaliknya sikap tolenrasi dan saling memahami perlu disuburkan.
Dasar "divide and rule" yang diamalkan oleh British pada zaman penjajahan telah melahirkan masyarakat saling berprasangka buruk. Justeru itu, sewaktu Malaya ingin menuju kemerdekaan terdapat mereka yang masih ingin berada dibawah pemerintahan British.

Antara faktor yang menyebabkan mereka kurang bersetuju dengan seruan Tunku Abdul Rahman untuk merdeka ialah kerisauan mereka berhubung status kaum Cina yang bakal menjadi warga Negara Malaya dengan hak-hak yang terpelihara.

Namun Tunku Abdul Rahman pantas menyanggah pandangan seumpama ini sambil menegaskan bahawa kemerdekaan yang dicapai tanpa memberikan hak yang sewajarnya bakal mencetuskan huru-hara lalu menghancurkan matlamat kemerdekaan itu sendiri. Bagi beliau keamanan yang ingin dicapai bukan sekadar keamanan sementara akan tetapi keamanan sehingga akhir zaman.

Perkara ini jelas dinyatakan didalam ucapan bapa kemerdekaan Malaysia.

“Merdeka yang kita tuntut ialah merdeka yang membawa kesenangan bukan sahaja pada masa ini malahan sehingga keakhir zaman”

Kita perlu menyedari untuk mengekalkan keharmonian yang kita capai hasil daripada kemerdekaan, kita perlu bersatu tanpa menghiraukan perbezaan diantara kita. Lihat sahaja contoh agung Nabi Muhammad S.A.W yang amat memahami bahawa kesatuan adalah kunci memelihara keharmonian dan kedaulatan Negara.

Menurut pengarang buku "Sejarah Islam Abad Pertama" Mohd Mokhtar Shafie , Rasullah S.A.W telah menyatukan penduduk madinah yang terdiri dari pelbagai puak dan kaum melalui piagam madinah. Baginda juga telah memperkenalkan perkataan "umat" buat kali pertama digunakan didalam lapangan politik yang merujuk semua warga madinah samaada kaum muhajirin, ansar atau pun yahudi.

Begitulah pentingnya perpaduan yang dapat menjaga keharmonian Negara agar kemerdekaan yang dicapai tidak luput dari tangan kita. Bak kata pepatah " Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh".

Biarlah kedatangan hari Merdeka yang baru ini menjadi titik tolak untuk kita benar-benar memahami falsafah kemerdekaan yang diperjuangkan oleh generasi terdahulu. Pengorbanan dan jerit perih mereka untuk perlu dihargai dengan cara yang paling bermakna dan kemerdekaan pula disyukuri dengan kita terus berjuang mempertahankan kemerdekaan ini.