Tuesday, July 22, 2008

PostHeaderIcon Al-Quran Yang Sepi


Silalah Layari Laman Blog ini dalam usaha menuju ke jalan Allah- Laman Sufi Salafi

Sudah sekian lama saya tidak menulis di blog kerana kesibukan yang sering menghambat saya. Apatah lagi kerja-kerja dakwah yang kian bertambah namun saya bersyukur kepada Allah kerana atas rahmatnya api semangat dakwah dalam diri ini kian membara.

Namun dikala kesibukan itu dan ini, adakalanya kita terlupa membaca ayat suci Al-Quran yang mulia. Sering kita memandang enteng kepada pembacaan Al-Quran dan lebih mementingkan perkara lain dari membaca Al-Quran.

Lihatlah bagaimana kita kadang-kadang terleka dihadapan internet melayari blog-blog politik,atau menjadi pengulas politik yang setia atau alpa dengan hiburan atau barangkali kita lalai dengan perbualan kosong di kedai makan. Masa berlalu tanpa kita hiasi dengan bacaan Al-Quran.

Malu rasanya, apabila kita merasakan kita seorang yang “BAIK” tapi hari-hari kita sepi dari Al-Quran. Kalau baca pun sudah jarang, bagaimana mungkin kita dapat menghayati tafsir Al-Quran. Saya cukup risau andai kita ini terdiri dari golongan yang sibuk mengejar yang besar-besar tapi lupa yang asas. Kita angkuh bercakap soal “mengangkat martabat Islam” tapi sayang Islam tidak tertegak dalam diri kita sendiri.

Manusia sebegini lama-kelamaan akan menjadi manusia “hipokrit”. Bicaranya menggoncang ..tapi Hatinya lesu dek hilangnya sinar keimanan.Bila berdepan dengan cabaran maka akan terserlah kebusukan hati yang telah bernanah itu dengan kebusukan mazmumah yang meloyakan. Dalam hadis Nabi yang saya petik dari sumber bacaan saya (Panduan Bagi Hafiz - Hafizah & Qari- Qariah oleh Hj Abu Najihat al-Hafiz)

“Diriwayatkan dari Ibnu Umar ra, dia berkata bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda : Sesungguhnya hati itu boleh berkarat sebagaimana besi yang dapat berkarat, kemudian sahabat bertanya kepada Rasullah S.A.W: Apa penawarnya? Rasulullah S.A.W menjawab : Penawarnya adalah dengan membaca Al-Quran.”

Ayuh pula, kita telusuri kisah para salafus soleh yang tidak pernah lengkang dari bibir mereka dengan “tilawatul Quran”. Khalifah Umar bin Abdul Aziz misalnya sangat rajin membaca Al-Quran dan kadang-kadang beliau sengaja berhenti sebentar dari pekerjaannya untuk membaca Al-Quran. Perkara ini menghairankan sahabatnya, lalu dia pun bertanya kepada Umar. Lantas Umar berkata;

“Aku lakukan hal ini agar aku tidak menjadi orang yang disifatkan telah menjauhi Al-Quran” (kisah ini dipetik dari buku :Panduan Bagi Hafiz - Hafizah & Qari- Qariah oleh Hj Abu Najihat al-Hafiz)

Anadai Umar yang dibawah pemerintahannya jajahan Islam yang luas mampu meluangkan masa untuk Al-Quran. Mengapa tidak kita? Berbezakah 24 jam kita dan beliau?

Akhir sekali marilah kita membaca Al-Quran kerana ia peringatan buat hati dan penerang kalbu. Firman Allah dalam surah al-anbiya’ ayat 50:

“Dan Al-Quran ini adalah suatu kitab (peringatan) yang mempunyai berkah yang telah Kami turunkan. Maka mengapakah kamu mengingkarinya”

Wallahualam.. Hidup Untuk Islam Mati Dalam Islam. Semoga Allah berikan kekuatan kepada saya dan sahabat-sahabat sekalian untuk sentiasa membaca Al-Quran


0 komentar: