Saturday, July 26, 2008

PostHeaderIcon Jin Dalam Botol


Silalah Layari Laman Blog ini dalam usaha menuju ke jalan Allah- Laman Sufi Salafi

Barangkali kita pernah mendengar kisah Aladin yang miskin kemudian menjadi kaya dengan bantuan Jin yang dijumpainya yang terperangkap didalam sebiji botol. Sebagai membalas jasa Aladin, jin tersebut memberikan peluang kepada Aladin untuk menyatakan 3 hajatnya yang akan dipenuhi olehnya. Maka Aladin telah meminta dari Jin tersebut beberapa perkara yang kemudiannya menjadi realiti.

Kisah ini mungkin cerita kanak-kanak yang pada pandangan kita sekadar cerita dongeng yang menghiburkan. Namun pernahkah kita terfikir bahawa kisah ini telah mengajar kanak-kanak untuk menjadikan jin dan syaitan sebagai tempat bersandar. Kisah Aladin telah menggambarkan bahawa seteru Allah iaitu syaitan adalah makhluk yang baik. Malah unsur syirik juga telah diterapkan dengan menggambarkan bahawa ada kuasa lain yang mampu memberikan manfaat kepada kita selain Allah.

Semasa saya kecil sering terlintas difikiran saya kalau-kalau satu hari nanti saya akan berjumpa dengan sebuah botol seperti Aladin yang membolehkan saya meminta segala perkara yang saya inginkan. Nah, inikan perkara yang bahaya untuk kanak-kanak.

Tidak hairanlah ada sesetengah manusia yang rosak aqidahnya sanggup memuja syaitan kerana syaitan itu dipandang sebagai makhluk yang baik dan mampu memberikan manfaat kepada mereka.Ini semua adalah hasil dari pengaruh media barat yang cukup membahayakan.(Takperlu saya nyatakan disini beberapa filem barat yang mengankat martabat syaitan). Mereka memilih untuk meminta kepada makhluk halus tersebut berbanding meminta kepada Tuhan. Justeru itu mereka sanggup membayar wang beribu untuk mendapatkan khidmat tok dukun dan bomoh untuk membantu mereka berjaya dalam kerjaya mereka.

Alangkah naifnya pemikiran ini, lupakah kita bahawa Allah itu Maha Berkuasa dan Pemurah yang akan memberi jika kita meminta dengan ikhlas. Kalau jin dalam cerita Aladin hanya mampu menunaikan 3 hajat, Allah mampu menunaikan segala hajat kita. Pintalah dan rayulah kepada Allah kerana adalah sesuatu yang memalukan sekiranya Allah tidak mengabulkan doa kita (perbincangan doa makbul dan tertolak ini panjang perlu huraian lain) seperti yang dinyatakan dalam hadis riwayat Abu Daud dan Al-Tirmizi :

“Daripada Salman Al-Farisi, Nabi S.A.W bersabda: Sesungguhnya Allah amat malu dan Maha Mulia. Adalah suatu yang memalukan bagi Allah , apabila seseorang insan mengangkat dua tangannya , lalu Allah menolaknya kosong dan rugi”

Justeru janganlah kita bermalas-malasan untuk meminta kepada Allah dan janganlah kita lalai dari meminta doa selepas solat fardhu kerana itulah waktu yang mustajab untuk berdoa. Bagaimana sibuk pun kita,moga-moga dapatlah kita luangkan sejenak waktu untuk berdoa. Hadis Nabi S.A.W dari riwayat Al-Tirmizi ada menyebut :

“Daripada Abu Umamah Al-Bahili r.a, Rasulullah s.a.w ditanya oleh seseorang: “Apakah doa yang lebih didengar (lebih makbul dan mustajab”? Baginda bersabda : “Waktu terakhir pada hujung malam dan sesudah solat-solat fardhu”

Semoga Allah berikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya khususnya bagi saya yang meminta dari Allah agar memberikan kekuatan untuk saya mengamalkan apa yang saya tulis.

Wallahualam
Faqir Ila Allah

1 komentar:

firdaus khairi said...

Ooo...begitu rupanya...ILmu Yang Bermanfaat..Alhamdulillah