Friday, September 29, 2006
Hakikat Hidup Cinta dan Amal
9:01 AM | Dari Hamba Allah
Mohd Nabil Majdi Al-Muslihi |
Edit Post
Wahai anakku yang tercinta,
"Hiduplah engkau sesuka hatimu kerana engkau pasti akan mati dan cintailah apa sahaja yang engkau kehendaki kerana engkau pasti akan berpisah dengannya dan buatlah apa sahaja yang engkau kehendaki kerana engaku akan dibalas mengikut amal perbuatanmu"
-Petikan daripada Ayuhal Awlad oleh Imam Al-Ghazali-
Nasihat yang dilontarkan oleh Imam Al-Ghazali kepada muridnya cukup mendalam bagai panahan menusuk kalbu. Masakan seorang insan yang berfikiran waras tidak tersentak dengan perlian yang cukup pedas tapi penuh dengan kebenaran.
Telitilah bicara awal beliau yang menyuruh kita buat apa sahaja selagi hayat masih ada tapi perlu diingat kita pasti akan mati. Setiap yang mati pasti akan dihisab amal baik dan buruknya. Mereka yang beriman dan beramal soleh didunia dahulu akan dimasukkan kedalam syurga . Bagi yang ingkar dan memilih hidup "enjoy" maka pintu neraka terbuka luas mempersilakan kehadirannya.
Berdasarkan hakikat bahawa hidup ini hanya sementara dan sekadar pentas ujian untuk mencapai keredhaan Allah yang abadi. Mana mungkin seorang manusia sengaja menempah gagal didunia agar diazab diakhirat kelak jika benar dia memahami bahawa dia pasti akan mati dan pasti akan dihisab.
Sebenarnya mengingati mati adalah saranan junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W dalam hadis ada menyatakan:
"Cukuplah mati sebagai pengajaran"
Apabila kita sentiasa berpesan kepada diri bahawa kita akan menemui ajal suatu hari nanti dan sentiasa beringat apabila setiap kali kita bangun tidur diawal pagi maka makin hampir kita kepada ajal yang telah ditetapkan bagi kita maka akan wujud rasa gerun mengenangkan nasib disana. Perasaan takut inilah benteng yang akan menghalang kita dari membuat semua perkara mengikut citarasa kita dalam erti kata lain membelakangkan syariat. Mereka yang mengingati mati tahu bahawa setiap amalan pasti akan dibalas.
Namun sayang seribu kali sayang, ramai dikalangan kita pada hari ini lupa bahawa kita akan mati. Kita bagaikan lupa bahawa setiap detik yang berlalu akan menghampirkan kita kepada mati. Fikiran kita apabila berimaginasi sering membayangkan bahawa tahun yang bakal mendatang bakal mendekatkan kita dengan cita-cita kita. Sehingga kita terlupa bahawa tahun yang mendatangkan juga bakal mendekatkan kita dengan mati. Semoga dengan ini makin selalu kita mengambil sejenak waktu untuk bertafakur tentang kematian untuk membangkitkan jiwa kita yang lesu dan malas untuk beribadat.
Bersambung....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komentar:
Post a Comment